Warga emas ‘berputih mata’, RM206,900 ‘lesap’ ditipu Tuan Omar, Inspektor Khoo

Seorang wanita warga emas berputih mata apabila kehilangan wang simpanan sebanyak RM206,900 selepas ditipu dua ‘scammer’ yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa yang berusia 64 tahun membuat laporan polis berhubung perkara itu, semalam.

Menurut beliau, mangsa menerima panggilan daripada kedua-dua pegawai polis itu pada bulan Julai, tahun lalu.

“Semasa berada di rumah, mangsa dihubungi ‘scammer’ mendakwa sebagai pegawai polis bernama Tuan Omar dan Inspektor Khoo Lee Feng yang memaklumkan mangsa terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram.

“Pengadu yang bimbang memberikan nombor akaun dan juga beberapa nombor OTP kepada suspek untuk tujuan siasatan sebelum diminta merahsiakan perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Balveer Singh, mangsa hanya sedar telah ditipu apabila memeriksa akaun banknya pada 6 September lalu dan mendapati terdapat 12 transaksi pemindahan ke enam akaun berbeza berjumlah RM206,900.

“Kesemua transaksi dibuat antara 14 September hingga 14 November tahun lalu. Sehubungan itu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, siasatan turut melibatkan aspek penglibatan keldai akaun dengan tindakan akan diambil terhadap pemilik bank terlibat,” jelasnya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*