
BALING: Seorang lelaki warga emas ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di Bazar Ramadan Taman Seri Harapan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang hari pertama Ramadan itu, Zainon Said, 75, dari Kampung Banggol Asam, Pulai, dilihat tiba-tiba rebah dan dipercayai meninggal dunia akibat penyakit kronik yang dihidapinya.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar, berkata anak lelaki mangsa berusia 51 tahun menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan bahawa bapanya tidak sedarkan diri di bazar itu.
Susulan itu, beliau berkata, anak mangsa yang juga pengadu telah menghubungi Pejabat Kesihatan Kupang.
“Ketua Balai Polis bersama dua anggota rondaan cegah jenayah (RCJ) tiba di tempat kejadian dan menjalankan siasatan sebelum mendapati warga emas terbabit sudah meninggal dunia.
“Hasil temu bual dengan salah seorang anak warga emas itu mendapati bapanya mempunyai sejarah penyakit kronik, iaitu kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi serta pernah mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Parit Panjang, Kupang.
“Warga emas itu juga pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar kerana mengalami pendarahan usus yang serius, dan ditahan di wad selama seminggu,” katanya.
Azmi berkata, hasil siasatan seterusnya mendapati tiada berlaku sebarang unsur jenayah di tempat kejadian.
Ketika insiden, beliau berkata, ada saksi melihat mangsa tiba-tiba rebah dan pengsan sebelum dipercayai meninggal dunia atas sebab-sebab penyakit kronik yang dihidapi warga emas itu.
Katanya, mayat dibawa pulang ke rumah mangsa di Kampung Banggol Asam Jawa untuk urusan pengebumian.
Baca juga :
Leave a Reply