Seorang wanita yang sedang sarat mengandung dihalau dari rumah selepas suaminya melafazkan cerai talak satu kepadanya menerusi perbualan di aplikasi WhatsApp.
Lebih kejam, lelaki tersebut hanya memberikan tempoh seminggu kepada wanita berkenaan untuk mendapatkan rumah atau bilik sewa lain.
Tangkap layar perbualan WhatsApp pasangan terbabit tular di media sosial apabila ia dimuat naik oleh pengguna akaun TikTok @Wanita Biasa.
Menerusi perbualan tersebut, lelaki berkenaan memaklumkan dia akan tinggal bersama seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Linda’ buat sementara sehingga si isteri mendapat tempat tingagl baharu.
“Aku bagi kau tempoh seminggu sahaja, cari rumah atau bilik sewa lain.
“Sementara ini kau duduk la situ dulu, aku tidur rumah linda sahaja,” kata lelaki tersebut.
Dalam pada itu, si isteri hanya membalas dengan perkataan terima kasih kepada suaminya kerana tergamak menceraikan demi wanita lain.
“Dengan keadaan saya tengah sarat ini, saya nak pergi mana? Awak pun tahu saya tak ada sesiapa. Sampai hati buat saya macam ini.
“Sebabkan dia (orang ketiga) awak sanggup ceraikan saya. Terima kasih banyak awak,” balas wanita itu.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mendoakan agar wanita tersebut kuat demi anak dalam kandungannya.
“Semoga tabah puan. Kuatkan diri untuk anak. Jangan berharap lagi pada lelaki kejam macam itu. Awak perlukan kebahagiaan yang lain. Saya doakan yang terbaik untuk puan,” kata Azalia Nordin.
“Semoga segala urusan dipermudahkan Allah dan kuat untuk anak tau. Adik adalah wanita yang dipilih oleh Allah untuk semua ujian yang berat ini, terus kuat dik,” pesan Inayana.
“Cerai sekalipun dia kena sediakan tempat tinggal dalam tempoh bekas isterinya iddah,” komen pengguna lain.
- Turut baca : Kerana minta cerai, suami bunuh isteri secara kejam
Leave a Reply