Wanita berstatus isteri orang ‘kantoi’ dicekup berkhalwat dengan bomoh

Ketua Unit Penguat Kuasa PADKM, Zaiferi Zainal Abidin (kanan) menyoal pasangan yang dicekup berkhalwat di sebuah rumah.

Wanita berstatus isteri orang ‘kantoi’ dicekup berkhalwat dengan bomoh. Wanita berstatus isteri orang yang dipercayai sering mengunjungi rumah bomoh di kawasan Bedong, Kuala Muda untuk berubat mengundang padah apabila dia dicekup berkhalwat dengan lelaki terbabit, Jumaat lalu.

Ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) pada jam 2 pagi itu, wanita berusia 35 tahun itu ditemui berkemban dan bersembunyi di tingkat atas rumah bomoh terbabit.

Wanita itu dipercayai sering mengunjungi bomoh berusia 65 tahun untuk mendapatkan bantuan kerana mempunyai masalah rumah tangga.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, sebelum itu, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang ternampak wanita berkenaan mengunjungi rumah bomoh itu, Khamis lalu.

Beliau berkata, berikutan itu, pihaknya melakukan pemeriksaan di rumah lelaki berkenaan berdasarkan aduan yang diterima.

“Ketika pemeriksaan dilakukan lelaki yang dipercayai bomoh itu hanya berseluar pendek dan mengaku kononnya dia berada di rumah itu seorang diri.

“Malah itu lelaki terbabit mempelawa anggota penguat kuasa masuk ke rumahnya bagi meyakinkan dakwaan hanya dia berada di rumah itu.

“Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita dalam keadaan berkemban di tingkat atas rumah berkenaan,” katanya.

Mohd Noor berkata, hasil siasatan mendapati wanita itu sudah beberapa kali datang malah pernah bermalam di rumah bomoh itu sebelum ini.

Katanya, bomoh itu mendakwa tinggal seorang diri kerana isterinya lumpuh dan dijaga oleh anak mereka yang tinggal di luar daerah ini.

“Wanita itu mengaku dia mengunjungi rumah bomoh berkenaan untuk mendapatkan bantuan bagi memudahkan proses perceraian dengan suaminya,” katanya.

Pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Turut baca :

Wanita berstatus isteri orang 'kantoi' dicekup berkhalwat dengan bomoh

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*