
WANG tunai lebih RM100 juta telah disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediaman bekas pegawai kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Memetik laporan New Straits TImes, (NST), wang tersebut disyaki mempunyai kaitan dengan dana politik dan ditemui dalam beberapa beg dan peti besi dalam bilik di kediaman itu.
Penyiasat SPRM turut merampas dokumen, barang kemas dan peranti elektronik ketika melakukan serbuan terhadap kediaman itu.
Serbuan terbabit dijalankan SPRM susulan siasatan berterusan dan pemantauan selama beberaa bulan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan bekas pegawai kanan berkenaan.
Penyiasat kini sedang meneliti sumber wang berkenaan, termasuk kemungkinan kaitan dengan dana politik.
Sumber itu berkata, siasatan yang dijalankan menjurus kepada peranan dimainkan bekas pegawai kanan berkenaan terhadap dana yang dirampas.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan empat orang yang berkhidmat sebagai pegawai kanan Ismail Sabri ketika menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, keempat-empat mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemungkinan rasuah dan pengubahan wang haram.
Walaupun dia tidak menyatakan jumlah sebenar wang yang terlibat, Azam berkata, ia adalah “jumlah yang besar”.
Ismail Sabri dimasukkan ke sebuah hospital di Kota Damansara selepas rebah di rumah pada pagi Sabtu.
Setiausaha Akhbarnya, Azran Fitri Rahim, berkata kejadian itu berlaku disebabkan tekanan darah tinggi dan beliau kini dalam keadaan stabil.
Baca juga :
Leave a Reply