Suatu petang dalam bulan Ogos 1962, Ruth Ammer berdebar-debar semasa membungkus makanan untuk santapan suaminya, Joseph Ammer. Hatinya tidak enak. Jantungnya berdegup laju, dihurung risau dan ketakutan.
Semuanya disebabkan mimpinya sebentar tadi. Semasa menunggu kepulangan suaminya untuk makan tengahari, Ruth tertidur sebentar.
Dalam tidur, dia bermimpi melihat suaminya dipukul bertalu-talu dengan penukul hingga mati. Suaminya menjerit meminta tolong, menahan kesakitan hingga terkulai layu. Ruth nampak jelas wajah si pembunuh itu.
Bila terjaga, Ruth merasakan mimpi itunya bagaikan benar-benar berlaku. Perasaannya aneh sekali. Seolah-olah begitu jelas dia telah menyaksikan saat kematian suaminya. Dahinya berpeluh, tangannya menggigil menahan ketakutan sejurus terjaga.
Hati Ruth semakin tidak keruan apabila suaminya tidak juga pulang. Sudah jadi kebiasaan, Joseph yang mempunyai kedai membaiki kasut pasti pulang ke rumah untuk makan tengahari. Tapi tidak pada tengahari itu.
Setelah siap membungkus makanan, Ruth segera keluar menuju ke kedai suaminya yang hanya terletak selang beberapa blok dari rumahnya.
Bila sampai di situ, Ruth terkejut melihat mimpinya jadi kenyataan. Dia melihat mayat suaminya diikat dengan benang yang digunakan untuk menjahit kasut. Tubuh suaminya dipenuhi luka akibat hentakan benda tumpul. Darah berpercikan di merata tempat dalam kedai itu. Penukul berlumuran darah yang digunakan sebagai senjata pembunuhan terletak bersebelahan mayat suaminya.
Kepada polis, Ruth menceritakan mimpinya itu termasuk ciri-ciri si pembunuh. Ruth yakin, lelaki di dalam mimpinya itulah pembunuh suaminya. Tetapi polis tidak begitu menghiraukan huraian pembunuh yang diceritakan Ruth kerana ia sekadar mimpi sehinggalah akhirnya pembunuh itu berjaya diberkas semasa sedang membersihkan kesan darah pada tangannya selepas membunuh Joseph.
Ternyata segala maklumat yang diberi Ruth berkaitan pembunuh itu semuanya tepat termasuklah warna baju si pembunuh tersebut.
Sekalipun informasi daripada mimpi Ruth tidak boleh dijadikan bahan bukti pendakwaan di mahkamah, namun dia berpuas hati apabila si pembunuh menerima hukuman atas perbuatannya.
Leave a Reply