{VIDEO} “Ya ALLAH anak aku…” Ibu kongsi detik cemas tertinggal anak di homestay

SEORANG wanita berkongsi detik-detik cemas selepas menyedari salah seorang anak perempuannya tidak ada bersama ketika dalam perjalanan pulang daripada sebuah inap desa yang terletak di Ketereh, Kelantan baru-baru ini.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook Nurul Fazliana, dia yang juga merupakan ibu kepada kanak-kanak perempuan itu mengatakan bahawa perkongsian tersebut adalah untuk peringatan buat ibu bapa lain.

Mengimbau kembali kejadian malang itu, dia mula menyedari kehilangan anaknya yang dikenali sebagai Khyra ketika mahu menunjukkan seekor kuda di tepi jalan selepas kira-kira 30 minit meninggalkan inap desa tersebut.

Katanya, kejadian cemas itu berlaku sejurus sahaja seorang lagi anaknya dan salah seorang ahli keluarga lain mengesahkan bahawa Khyra tiada bersama di dalam kereta.

“Nak dijadikan cerita, kami sekeluarga siap-siap nak keluar homestay selepas bawa ayah pergi berubat angin selama tiga hari dua malam.

“Ketika dalam perjalanan nak tunjuk kuda kepada Khyra, tengok belakang tanya Ara (anak yang lain), tetapi dia beritahu adik tiada.

“Kemudian tanya adik pula, Una kot-kot ada dalam kereta mereka tetapi jawapannya pun tiada,” tulisnya.

Turut baca :

Pada masa sama, fikirannya dikatakan terlintas bahawa anaknya tertinggal di inap desa berkenaan sebelum suaminya bergegas untuk berpatah balik dengan menggunakan signal kecemasan ke lokasi itu.

Dalam pada itu, ibu kepada pengguna akaun tersebut dikatakan mengesahkan bahawa Khyra memang masih di dalam homestay dan menyorok di belakang kerusi kerana merajuk dengan ayahnya.

“Dia merajuk belakang kerusi sebab papa dia simpan bagasi yang dia nak main. Jadi papa tak tahu adik merajuk dan tak keluar lagi.

“Dia pun terus kunci pintu rumah, masuk kereta terus gerak tak cakap banyak,” kongsinya lagi.

Sebaik tiba di inap desa itu, mereka dikatakan terus memanggil kanak-kanak tersebut dan mendapati Khyra sudah berada di hadapan pintu dalam keadaan lemah kerana menangis.

“Sedih sangat tengok dia lembik, menangis banyak sangat sampai termuntah. Semua pakat nangis dan sujud syukur Khyra tak ada apa-apa.

“Macam-macam kemungkinan dalam fikiran ya ALLAH, pertama kali dalam hidup. Syukur sangat diberi peluang boleh ambil anak sihat lagi,” tambahnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*