{VIDEO} Umno Sabah tarik sokongan kepada Hajiji

Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mengumumkan parti itu dan Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Hajiji Noor.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapati pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu melanggar perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dimeterai selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 2020.

“Penubuhan kerajaan negeri Sabah sekarang adalah hasil persefahaman termeterai antara parti BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Bersatu, STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) selepas keputusan PRN Sabah ke-16.

“Persefahaman politik tersebut antara lain menyebut ADUN BN, Umno akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Hajiji untuk dilantik sebagai ketua menteri Sabah selagi mana pelantikan ahli Jemaah Menteri serta lantikan pengerusi syarikat milik kerajaan negeri daripada BN, Umno seperti termaktub dalam perjanjian persefahaman politik dihormati.

“Persefahaman politik tersebut telah dicabuli oleh Hajiji apabila beliau bertindak memecat Salleh Said Keruak daripada jawatannya sebagai pengerusi Qhazanah Sabah Berhad tanpa berunding dengan pengerusi BN Sabah dan bertindak mengumumkan bahawa satu rombakan Jemaah Menteri akan dibuat tanpa berunding terlebih dahulu dengan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan ADUN serta pimpinan Umno Sabah di ibu pejabat parti itu, di sini, hari ini.

Bung berkata, Hajiji juga tidak mempunyai “locus standi” untuk terus kekal sebagai ketua menteri susulan tindakannya keluar daripada Bersatu, baru-baru ini.

“Selepas Hajiji keluar daripada Bersatu, kami telah berbincang dengan beberapa peguam dan dapati Hajiji tiada ‘locus standi’ untuk menjadi ketua menteri.

“Mengikut Perlembagaan Negeri 6 (3), beliau tiada kelayakan lagi untuk menjadi ketua menteri, Hajiji tidak berparti, dia bernaung bawah GRS dan adalah gabungan.

“Dengan penarikan sokongan kepercayaan ini, Hajiji telah hilang majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah dan tidak berkelayakan untuk dilantik ke jawatan ketua menteri,” katanya.

Sementara itu, Bung enggan mendedahkan langkah seterusnya yang akan dilakukan parti itu namun mengatakan yang mereka sedia bekerjasama dengan mana-mana parti untuk menubuhkan kerajaan.

“Kita sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, asalkan mereka ikhlas,” katanya.

{VIDEO} Umno Sabah tarik sokongan kepada Hajiji

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*