{VIDEO} Ugut terjun dari bumbung selepas ‘kantoi’ pecah masuk rumah

Suasana di Taman Pertam Jaya di sini kecoh apabila seorang lelaki warga Myanmar mengugut untuk terjun dari bumbung sebuah rumah, dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari, semalam.

Lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai bertindak demikian setelah cubaannya untuk memecah masuk salah sebuah rumah di situ disedari penduduk.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berjaya diberkas apabila atap genting rumah teres setingkat itu pecah dan menyebabkannya terjatuh ke bawah.

“Sepasukan Unit Peronda Cegah Jenayah telah ke lokasi sejurus menerima maklumat dan mendapati seorang lelaki berada di atas bumbung sambil memegang sekeping atap genting.

“Pihak polis telah mendapatkan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu untuk memujuk suspek turun, namun lelaki itu tidak mempedulikannya.

“Suspek turut bertindak membaling kepingan genting ke bawah dan salah seorang anggota polis memanjat naik ke atas bumbung untuk memujuk, tetapi suspek melarikan diri ke bumbung rumah yang lain,” katanya kepada pemberita.

Tambah Christopher, ketika pasukan bomba cuba menggunakan pancuran air untuk menghalang suspek daripada terjun, salah satu atap genting dipijak suspek pecah lalu menyebabkannya terjatuh ke bawah.

“Suspek kemudian diberkas dan pemeriksaan pada badan tidak menjumpai barang salah. Akibat jatuh dia mengalami kecederaan luka pada bahagian kepala serta leher.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana menceroboh,” jelasnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*