Seorang pemilik syarikat pembekalan produk beras mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan penipuan pembekalan beras bernilai lebih RM22 juta ringgit di Kedah.
Pendakwaan terhadap lelaki berusia 37 tahun itu dilakukan di sebuah hospital di Klang siang tadi, yang mana suspek sedang menerima rawatan.
Berdasarkan pertuduhan pertama tertuduh C. Kuganeswaran memberikan satu set dokumen tuntutan yang turut mengandungi dokumen palsu kepada seorang ejen membabitkan pembiayaan bagi projek membekalkan produk beras ke Kedah Agro Holding Bhd berjumlah RM10,847,500.
Pemilik syarikat didakwa tipu pembekalan beras lebih RM22 juta pic.twitter.com/1xtyYs4HrV
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) October 11, 2023
Perbuatan dilakukan di sebuah pejabat SME di ibu negara 27 Januari 2017 yang sebenarnya pembekalan berkenaan didakwa tidak dilakukan.
Pertuduhan berikutnya pada Satu Mac 2017 di lokasi sama tertuduh memberikan satu set dokumen tuntutan yang turut mengandungi dokumen palsu kepada ejen serta tujuan sama membabitkan pembiayaan berjumlah RM7,755,000 yang mana sebenarnya pembekalan juga tidak dilakukan.
- Turut baca : Kilang sorok beras tempatan di Kedah disita
Pertuduhan ketiga tertuduh turut melakukan perkara sama pada 14 Mac 2017 membabitkan pembiayaan projek pembekalan beras berjumlah RM4,157,500.
Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum dibawah seksyen 24 (2), Akta yang sama dengan nilai keseluruhan rasuah RM22,760,000.
Tertuduh bagaimanapun dibenar ikat jamin RM60,000 dan Hakim Rozina Ayob menetapkan sebutan semula kes 23 November ini.
Leave a Reply