TINDAKAN pendakwah selebriti Indonesia, Gus Miftah Maulana Habiburrahman yang mengasari penjual teh ais baru-baru ini mendapat kritikan hangat daripada rakyat seluruh dunia.
Gurauan menggunakan kata-kata kasar itu sekali gus menambah senarai kontroversi yang sering dikaitkan dengannya.
Antaranya adalah Gus Miftah sering melakukan dakwah di dalam kelab malam.
Dia yang juga bertugas sebagai Utusan Khas Presiden dalam Bidang Keharmonian Beragama percaya bahawa dakwah boleh dilakukan di mana-mana sahaja termasuk kelab malam.
Namun, pandangan itu kurang mendapat persetujuan ramai disebabkan lokasinya dianggap sebagai kotor dan penuh maksiat.
Gus Miftah bagaimanapun memberi hujah bahawa dakwah agama perlu melibatkan semua golongan termasuk yang sedang bergembira di dalam kelab malam.
Selain itu, dia juga turut menerima kritikan hebat ketika menyampaikan khutbah di Gereja Bethel Indonesia (GBI) Amanat Agung, Penjaringan, Jakarta pada 2021.
Tindakan itu dianggap tidak wajar dan dianggap sudah melanggar prinsip toleransi beragama.
Namun, Gus Miftah menafikan bahawa perkara yang dilakukan itu bukanlah satu dakwah malah mengambil keputusan untuk berdiam diri tanpa memohon maaf.
Bukan itu sahaja, dia juga mula dikenali disebabkan sikapnya yang gemar menghina para pendakwah lain.
Pada 2022, Gus Miftah dikatakan menghina Ustaz Khalid Basalamah ketika mengadakan persembahan di Yogyakarta, Indonesia.
Tidak serik dihentam, Gus Miftah sekali lagi menimbulkan kekecohan dan tular di media sosial selepas membantah larangan menggunakan pembesar suara di masjid untuk membaca al-Quran ketika Ramadan.
Dia turut membandingkannya dengan tindakan sesetengah individu yang mengadakan acara dangdut sehingga pukul 1 pagi di Sidoarjo, Surabaya.
Baca juga :
- Dua lelaki bawa unta naik motosikal cetus pelbagai reaksi
- “Bermodalkan tabung, bawa pulang RM15,000 sebulan… Kegiatan licik dua beradik cari ‘rezeki’ haram terbongkar
- Rasuah RM250j: Pengarah syarikat, penjawat awam ditahan
Gus Miftah turut menjadi tumpuan selepas didakwa cuba memberi rasuah kepada jemaah haji di Pamekasan menjelang Pilihan Raya 2024.
Namun, dia menafikan tindakan tersebut dan hanya mengatakan bahawa ia adalah sedekah.
Setelah tular konfliknya dengan penjual teh ais ketika sedang memberi ceramah, orang ramai mula mendedahkan video-video lamanya sehingga menampakkan sisi buruknya terhadap isterinya.
Video tersebut juga memaparkan tindakan Gus Miftah menunjal kepala isterinya di hadapan khalayak ramai sambil ketawa ketika menghadiri sebuah majlis.
Leave a Reply