{VIDEO} Tiada angin tiada ribut, pemandu van rempuh 5 kereta di Ampang rupanya…

TIADA angin tiada ribut, seorang pemandu van tiba-tiba bertindak memandu melawan arus dan melanggar sebuah kereta yang berada di bahu Jalan Besar Ampang, Ampang, Selangor pada Sabtu.

Kejadian yang dirakam oleh orang awam di lokasi kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari memaparkan van tersebut kemudiannya melanggar tiga kereta lain yang sedang bergerak.

Video tersebut turut memaparkan pemandu terbabit cuba mengundurkan vannya untuk melarikan diri, namun dikejar oleh orang awam.

Difahamkan empat pemilik kenderaan tersebut telah membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pemandu van berkenaan telah ditahan polis pada Ahad.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila suspek dipercayai cuba melarikan diri selepas melanggar sebuah kenderaan di Jalan Ampang kerana dikejar orang awam yang berada di tempat kejadian.

“Suspek kemudian yang memandu secara melawan arus telah melanggar empat kenderaan lain sebelum melarikan diri melalui jalan belakang kedai Pekan Ampang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Azam berkata, kemalangan terbabit menyebabkan kerosakan kepada semua kenderaan terlibat, namun tiada kecederaan dialami pemandu.

Katanya, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 40-an ditahan selepas hadir membuat laporan di Balai Trafik Ampang Jaya.

“Ujian saringan air kencing adalah negatif dan suspek dibawa ke Hospital Ampang untuk mengambil sampel darah bagi tujuan pemeriksaan kandungan alkohol.

“Bagaimanapun, hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau, tujuh rekod saman trafik tertunggak dan dua waran tangkap trafik,” ujarnya.

Mohd Azam memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 54 APJ 1987 dan Seksyen 42(1) APJ 1987.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*