Pasti ramai yang masih ingat akan kisah seorang wanita, Jahidah Nordin yang menjadi mangsa belasah suami sehingga koma dan tidak berdaya.
Sejak kejadian itu, banyak yang dilalui wanita berkenaan termasuklah melalui proses kehamilan serta melahirkan seorang bayi lelaki dalam keadaan dirinya masih koma.
Bagaimanapun, sejak ditahan selepas kejadian itu namun tiada perkembangan mengenai suspek.
Terbaharu, menerusi perkongsian keluarga Jahidah, mereka menerima khabar bahawa lelaki berkenaan dikatakan telah bebas pada minggu lepas selepas diikat jamin oleh seseorang.
Khabar buruk itu dimaklumkan oleh Fauziah Nordin dan Fazariah Nordin di akaun media sosial masing-masing apabila membenarkan tentang berita pembebasan suspek selepas setahun direman.
Menurut mereka, lelaki berkenaan belum lagi dijatuhkan hukuman namun dapat bebas daripada direman selepas ada penjamin yang membayar wang ikat jamin.
Jelas mereka lagi, ikat jamin tersebut dilakukan secara atas talian malah identiti penjamin juga dirahsiakan.
Berkongsi akan keadaan terkini Jahidah, wanita berkenaan tidak banyak berubah dan hanya terbaring seperti sebelum ini. Namun, mereka sekeluarga berharap perkembangan positif dari wanita tabah itu.
Leave a Reply