{VIDEO} Sindiket ‘counter setting’: Wang tunai hampir RM800,000 ditemui dibilik tidur pegawai imigresen

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini mendedahkan sejumlah RM766,693 wang tunai ditemui dalam bagasi dan di bawah katil dalam bilik tidur menerusi serbuan di kediaman pegawai imigresen yang terbabit dalam sindiket ‘counter setting’.

Menurut beliau, selain RM518,250 dalam bagasi di bilik tidur pegawai wanita imigresen Gred KP22 di kediamannya di Pahang, SPRM turut menemui wang tunai RM248,443 yang disimpan di bawah katil bilik utama pegawai imigresen lelaki Gred KP19 di rumahnya di Melaka.

Jelasnya, wang tunai yang ditemukan itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan RM1.49 juta yang berjaya disita daripada penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket ‘counter setting’.

“SPRM turut menyita wang tunai AS$9,900 (RM41,990) dan 5,470 Bath (RM696) menerusi operasi tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

{VIDEO} Sindiket ‘counter setting’: Wang tunai hampir RM800,000 ditemui dibilik tidur pegawai imigresen
AZAM Baki menunjukkan peralatan dan wang tunai yang dirampas daripada sindiket ‘counter setting’ pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Selain wang tunai, Azam berkata, SPRM turut menyita sebanyak 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram dengan anggaran nilai melebihi RM200,000 daripada pegawai Imigresen Gred KP22 di Negeri Sembilan.

Turut baca :

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang operasi berkenaan, pihaknya juga menyita 22 kenderaan iaitu sembilan kereta dan 13 motosikal, selain lebih 75 barangan kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket dan subang serta 12 jam tangan pelbagai jenama.

“SPRM turut membekukan 215 akaun bank milik 16 syarikat dan 84 individu dengan nilai pembekuan melebihi RM3.6 juta,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan modus operandi sindiket ‘counter setting’ berkenaan adalah dengan mempromosikan pakej untuk masuk ke negara ini menerusi platform media sosial khususnya Facebook dan Telegram.

Katanya, terdapat ejen yang akan menghubungi pegawai imigresen terbabit menerusi aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan tarikh sesuai bagi membolehkan kumpulan warga asing itu datang ke Malaysia sebagai pelancong.

“Pegawai imigresen kemudian akan memberikan ‘lampu hijau’ jika tarikh berkenaan sesuai. Ejen atau sindiket akan memberikan butiran pasport dan gambar kumpulan warga asing yang akan tiba menerusi WhatsApp kepada pegawai imigresen terbabit.

“Pegawai itu akan memberikan maklumat nombor ‘kaunter khas’ yang perlu dituju oleh kumpulan warga asing untuk pelepasan masuk ke Malaysia,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*