{VIDEO} ‘Siap ada penonton’ – Dua remaja bertumbuk di Melor sehingga video tular dipanggil polis

Dua remaja lelaki yang dipercayai bertumbuk di Kampung Bukit Kecik, Melor di sini minggu lalu sehingga video pergaduhan mereka tular di media sosial akan dipanggil polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 11.18 pagi semalam berhubung video yang memaparkan dua remaja lelaki bertumbuk dengan disaksikan oleh sekumpulan remaja lelaki lain.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3 petang pada 7 September lalu di kawasan tanah lapang di Kampung Bukit Kecik, Melor.

“Kedua-dua suspek berusia 14 dan 15 tahun itu merupakan pelajar di sebuah sekolah menengah di Ketereh.

“Kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua suspek. Sehubungan itu, dua remaja yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohd. Rosdi memberitahu, siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar pergaduhan itu sedang giat dijalankan.

Menurutnya, saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Nur Asminda Mohd. Apandi di talian 017-250 9251 atau 09-775 2200 atau di balai polis berhampiran.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh.

Terdahulu, tular satu video yang memaparkan dua remaja bertumbuk di kawasan tanah lapang dengan disaksikan oleh sekumpulan remaja lain.

Saksi yang terlibat dalam kejadian itu juga hanya memerhatikan pergaduhan tersebut dan tidak bertindak untuk menghentikan perbuatan mereka.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*