{VIDEO} ‘Sendiri tak bayar pinjaman, sendiri rosakkan kereta nak kena tarik… Tindakan wanita ini jadi perbualan hangat warga maya

TINDAKAN seorang wanita bersama beberapa ahli keluarganya yang lain merosakkan kereta miliknya ketika kenderaan tersebut mahu diambil oleh penarik kenderaan berdaftar masih lagi menjadi perbualan hangat dalam kalangan warga maya.

Manakan tidak, melalui video yang tular sejak Selasa, wanita tersebut dilihat bertindak di luar kawalan mengetuk cermin hadapan kenderaan itu menggunakan batu berkali-kali.

Pada masa sama, ada dalam kalangan warga maya yang mendakwa, tindakan drastik wanita itu berpunca daripada kegagalan melunaskan bayaran ansuran selama lapan bulan, menyebabkan pihak bank mengarahkan kenderaan tersebut ditarik.

Tindakannya yang memilih untuk merosakkan kereta sendiri telah mengejutkan warga maya, dengan ramai yang berpendapat ia bukanlah penyelesaian yang wajar.

Seorang pengguna media maya, Azizul Azli Ahmad berkata, pemilik kenderaan yang menghadapi masalah pembayaran ansuran sepatutnya segera berhubung dengan pihak bank bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai jumlah tunggakan dan bersikap rasional.

Azizul yang juga pempengaruh serta penulis buku turut menyenaraikan 10 langkah bagi mengelakkan perkara yang sama terjadi.

“Semak baki yang tertunggak, termasuk faedah yang dikenakan serta kos tambahan seperti yuran penarikan dan simpanan kenderaan. Rundingan dengan pihak bank perlu dilakukan segera bagi mencari jalan penyelesaian, sama ada dengan melanjutkan tempoh pembayaran atau menstruktur semula pinjaman.

“Bagi mereka yang tidak mampu menjelaskan bayaran tertunggak dalam tempoh yang ditetapkan, pemilik kenderaan berbincang dengan bank tentang kemungkinan menjual kenderaan tersebut untuk menutup baki hutang.

“Langkah berkenaan dilihat lebih praktikal daripada membiarkan kenderaan ditarik tanpa sebarang penyelesaian.

“Pada masa sama, dalam sesetengah kes, bank mungkin bersedia menawarkan pelan pembayaran tertunggak secara ansuran atau melanjutkan tempoh pembayaran, ” tulisnya pada Selasa.

Menurut Azizul lagi, insiden tersebut turut membawa perhatian kepada kepentingan mendapatkan nasihat kewangan profesional apabila berdepan dengan masalah hutang.

Jelasnya, bertindak secara rasional dan berunding dengan pihak bank adalah cara terbaik bagi mengelakkan masalah menjadi lebih rumit.

“Tindakan merosakkan kenderaan hanya akan menambah beban, kerana nilai kenderaan yang rosak akan menurun dan ini akan meningkatkan jumlah hutang yang perlu dilangsaikan.

“Kes tersebut menjadi satu pengajaran kepada orang ramai tentang pentingnya bertindak bijak apabila berhadapan dengan masalah kewangan.

“Walaupun tekanan kewangan boleh menimbulkan tekanan mental, bertindak melulu bukanlah jalan penyelesaian terbaik, “katanya.

Azizul turut menitip pesanan bagi pemilik kenderaan yang menghadapi masalah kewangan disarankan agar mengambil langkah proaktif dengan berbincang bersama pihak bank dan mendapatkan bantuan kewangan jika diperlukan, bukannya bertindak memusnahkan harta sendiri.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*