{VIDEO} Sebatan syariah di Terengganu: Duda selesai disebat 6 kali, 90 orang jadi saksi

SEORANG pesalah khalwat berulang selesai menjalani hukuman enam sebatan yang disaksikan kira-kira 90 individu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, petang Jumaat.

Hukuman sebatan syariah itu menjadikan tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, sebagai individu pertama di Terengganu menjalani hukuman sebat di khalayak ramai kerana kesalahan tersebut.

Tertuduh yang merupakan duda lima anak itu didapati bersalah berkhalwat kali ketiga dengan wanita berbeza menjalani hukuman sebat bermula pukul 2.50 petang.

Terdahulu, tertuduh yang berpakaian penjara berwarna merah dan memakai pelitup muka tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah pada kira-kira 2.29 petang, diiringi warden penjara.

Dia kemudian dibawa memasuki ke sebuah bilik dalam dewan di masjid tersebut untuk pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan sebelum hukuman sebat dijalankan.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail membuat keputusan hukuman itu dalam prosiding pada 20 November lalu.

Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Selain enam sebatan, tertuduh juga didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu.

Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.

Hukuman sebatan ke atas tertuduh sepatutnya dilaksanakan pada 6 Disember lalu, namun ditangguhkan susulan permohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah.

Seramai 40 anggota polis bertugas mengawal keselamatan di pekarangan Al-Muktafi Billah Shah bagi memastikan pelaksanaan hukuman sebat tersebut berjalan lancar.

Tertuduh dibawa keluar dari dewan masjid berkenaan pada pukul 2.55 petang dan menaiki kenderaan untuk dihantar pulang ke Penjara Marang.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*