“Rasa nak luruh jantung…” Ibu berdepan detik cemas, anak 9 bulan cuba dibawa lari ke Siam. Seorang ibu berdepan detik cemas apabila mengetahui bayinya berusia 9 bulan dilarikan sekumpulan inidvidu dalam satu kejadian di Seberang Perai.
Berkongsi kejadian tersebut, ibu bayi berkenaan Farisha Amirah Zainal , 24, dia mengetahui akan perkara itu ketika mahu mengambil anaknya sebaik sahaja pulang dari tempat kerja dan dalam perjalanan mengambil anaknya dari rumah pengasuh.
Katanya lagi, dia dimaklumkan anaknya dilarikan oleh cucu perempuan pengasuhnya itu ketika warga emas berkenaan sedang solat.
“Memang macam nak luruh jantung bila saya dengar jiran saya (pengasuh) memaklumkan perkara sedemikian. Susulan itu, saya menelefon keluarga termasuk yang di kampung bagi memaklumkan kejadian sebelum suami saya pergi membuat laporan polis.
“Sampai pukul 9 malam kami (saya dan suami) masih berurusan dengan pihak polis sebelum saya kuatkan hati pulang ke rumah untuk solat.
“Selepas solat, tiba-tiba naluri hati saya kuat mengatakan anak kami akan kembali ke pangkuan. Susulan itu, saya siapkan kelengkapannya termasuk menyediakan susu serta pakaian dalam satu beg sebelum turun dan tunggu kehadirannya di pos pengawal pangsapuri kami,” katanya.
Bagaimanapun, tindakan pantas pihak polis, dia dan suami menerima panggilan sejam kemudian yang memaklumkan bahawa mereka telah berjaya mengesan suspek namun bayi yang dilarikan tiada bersama.
Meskipun anaknya belum ditemui lagi ketika itu, namun dia percaya naluri tetap mengatakan bayi itu masih selamat dan bakal ke pangkuannya semula.
- Turut baca : Kesan tapak kaki ‘dinosaur’ 113 juta tahun ditemui
“Syukur sangat selepas 10 minit kami dapat panggilan mengatakan anak saya ditemui dalam keadaan selamat dan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan.
“Memang bagaikan mimpi dan lembik lutut saya sebaik dapat memegang dan peluk anak di hospital. Selalunya dengar cerita sahaja anak diculik tapi tak sangka kami sendiri lalui kejadian ngeri itu.
- Turut baca : Wanita tipu pelaburan RM1.2 juta diburu
“Anak saya itu mungkin dijual kepada sindiket sekiranya pihak polis lambat mengesan suspek memandangkan bayi kami ditemui dalam sebuah van yang dipercayai dalam perjalanan ke sempadan negara jiran melalui negeri di Pantai Timur,” jelasnya.
Trauma akan kejadian tersebut, dia kini memilih untuk berhenti kerja untuk mengasuh anaknya sepenuh masa.
“Saya sudah serik nak bagi orang lain jaga anak dan kami sekeluarga harap mereka yang terlibat dikenakan hukuman setimpal agar kejadian yang sama tidak berulang kepada ibu bapa lain,” katanya.
Sementara itu, lima individu termasuk seorang remaja bawah umur yang dipercayai terlibat dalam kes melarikan bayi berkenaan.
Mereka yang terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu culik.
Leave a Reply