{VIDEO} Ragut ‘handphone’ lelaki di lintasan pejalan kaki, penunggang motosikal diburu

SEORANG lelaki menjadi mangsa ragut selepas telefonnya dirampas oleh seorang penunggang motosikal ketika sedang berada di tepi laluan lintasan pejalan kaki berdekatan lokasi pelancongan popular ibu kota, Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Video mengenai kejadian tersebut tular sejak Ahad selepas ia berjaya dirakam oleh kamera papan pemuka kenderaan atau dashcam yang sedang melalui tempat kejadian.

Berdasarkan klip berdurasi 18 saat, mangsa yang berada di atas laluan pejalan kaki itu sedang bermain telefonnya sambil tangannya di di atas besi penghadang jalan betul-betul berdekatan kawasan lintasan pejalan kaki.

Pada masa sama, seorang penunggang motosikal yang berpakaian gelap dilihat menunggang menghampirinya sebelum secara tiba-tiba meragut telefon bimbit yang dipegang mangsa sebelum terus beredar dari lokasi.

Mangsa yang terkejut dengan situasi berlaku tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya melihat suspek meninggalkan tempat kejadian.

Insiden tersebut mendapat perhatian warganet lebih-lebih lagi ia berlaku di berdekatan kawasan tumpuan utama pelancongan di Kuala Lumpur.

Menerusi video tular berkenaan, kejadian terbabit dipercayai berlaku pada Sabtu sekitar pukul 12.14 tengah hari.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi memaklumkan pihaknya masih belum mendapat sebarang laporan berhubung insiden tersebut.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa polis sedang menjalankan siasatan dan memulakan usaha mengesan pelaku dalam kejadian tular itu.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*