{VIDEO} Pusat perniagaan GISBH di Rawang diserbu

Kawasan pusat perniagaan sebahagian besar dimiliki rangkaian Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di Bandar Country Homes, Rawang, diserbu polis hari ini.

Serbuan dilakukan pada 6.30 pagi oleh 50 pegawai dan 200 anggota IPK Selangor dan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) serta dibantu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Antara pusat perniagaan diperiksa adalah restoran, bengkel kereta, kedai pakaian terpakai, percetakan, pasar raya, kedai bakeri, pusat khidmat media, hotel, butik, galeri dan bentuk perniagaan lain semuanya menggunakan nama GISBH, lapor Berita Harian.

Setakat 8.30 pagi tadi, polis dilihat sedang melakukan pemeriksaan terhadap individu termasuk sebahagian kanak-kanak di lokasi sama.

Pihak MPS dilihat turut melakukan kerja merobohkan struktur GISBH yang dibina secara salah selain menyita beberapa premis perniagaan.

Pada masa sama hampir keseluruhan kawasan di pusat perniagaan Jalan Desa, Bandar Country Homes, ditutup.

Media sebelum ini melaporkan 172 daripada 402 kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global di 20 rumah amal di sekitar Selangor serta Negeri Sembilan disyaki dieksploitasi sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Op Global pada 11 Sept itu turut menahan 159 individu membabitkan 39 lelaki dan 120 wanita.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan berkata, hasil saringan kesihatan terhadap mangsa mengesan lima elemen jenayah iaitu penderaan fizikal dan emosi, pengantunan seksual kanak-kanak, buruh kanak-kanak, pengabaian kanak-kanak serta pembesaran malnutrisi.

Turut baca :

Kelmarin, ketua pegawai eksekutif GISBH dan isterinya antara 19 individu ditahan di sebuah hotel residensi di Jalan Imbi, ibu negara.

Semua individu berusia 25 hingga 65 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 5.40 pagi.

Seramai 12 lelaki dan tujuh wanita itu direman tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu bagi membantu siasatan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut menitahkan polis menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

Baginda memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilaporkan serta disiarkan di media mengenai rumah amal tersebut.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*