“Perbuatan mereka sangat kejam dan saya tidak boleh terima,” kata Anisah Takzim, 50.
Anisah adalah ibu kepada remaja lelaki berusia 15 tahun yang dibakar sekumpulan lelaki dalam kejadian di Kampung Perasing Jaya Jabur, Kemaman, Jumaat lalu.
Menurutnya, dia mahu suspek yang membakar anaknya itu mendapat hukuman setimpal dengan perbuatan kejam mereka.
Katanya, dia mengetahui anaknya itu nakal namun boleh menerima kenyataan sekiranya remaja itu itu benar-benar melakukan kesalahan.
“Kalau dia bersalah, bawalah anak saya kepada polis kerana kita ada undang-undang dan janganlah lakukan anak saya sebegitu kejam.
“Mereka bakar anak saya hidup-hidup, itu saya sedih dan tak boleh terima. Saya tak sangka ada lagi manusia kejam dan tergamak berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Ibu tunggal itu berkata, dia sangat terkejut selepas melihat keadaan anaknya yang menahan kesakitan ketika pulang ke rumah meminta bantuan.
“Dia pulang ke rumah kira-kira jam 3 pagi dalam keadaan menjerit kesakitan. Saya nampak kesan bajunya yang terbakar melekat pada badannya.
Turut baca
- {VIDEO} “Nasib sempat elak…” Kereta polis potong ‘double line’ bikin darah ‘berderau’
- Selesai ambil keterangan 11 saksi, rumah mewah wanita dera anak angkat disita
- {VIDEO} “Kemalangan ngeri…” Pemandu rentung, BMW ‘terbang’ terlanggar tebing konkrit
“Dia beritahu saya badannya dibakar orang dengan api dan dia cuba memadamkan kebakaran itu dengan berguling di atas tanah,” katanya.
Katanya, melihat keadaan anaknya yang kritikal itu, dia segera membawa anaknya itu ke hospital.
“Anak saya kini mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan saya sering menangis setiap kali melihat keadaannya.
“Dia semakin stabil dan sudah boleh bercakap serta sudah boleh makan dengan sedikit-sedikit,” katanya.
Katanya, kebakaran itu akan meninggalkan kesan kecacatan kekal pada badan anaknya dan tidak putus berdoa supaya anaknya segera sembuh.
Untuk rekod, polis sudah menahan enam suspek yang dipercayai terbabit dalam insiden berkenaan.
Leave a Reply