{VIDEO} Penjenayah hati kering, selamba larikan Toyota Alphard dalam pagar rumah

SEBUAH keluarga di Ipoh, Perak, pasrah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard milik mereka dilapor dilarikan di hadapan mata mereka dalam kejadian rompakan yang berlaku pada awal pagi Ahad.

Insiden di Gerbang Meru Indah itu tular selepas ia dikongsikan oleh salah seorang ahli keluarga mangsa terbabit menerusi akaun TikToknya, Wafa Izham.

Menurut perkongsian tersebut, perompak tersebut difahamkan menggunakan alatan teknologi kawalan khas bagi membuka pagar automatik dan kereta yang diletakkan di depan halaman kediaman terbabit.

Lebih mengejutkan, perompak berkenaan dilaporkan langsung tidak menunjukkan perasaan takut meskipun ahli keluarga berkenaan yang menyedari kegiatan itu cuba meminta bantuan dengan menjerit dan membunyikan penggera keselamatan pada kenderaan lain yang turut berada di kediaman mereka.

“Kejadian di Meru, Ipoh pukul 3.50 pagi (Ahad). Kereta kami dicuri dengan mudah. Pintu pagar automatik dibuka, unlocked kereta guna remote mereka dan tak takut langsung walaupun kami dah bunyikan alarm dan menjerit.

“Perompak tekad hidupkan enjin dalam tempoh lima hingga tujuh minit (agak lama) berbanding lari bila kami menjerit.

“Kami tak berani keluar takut perompak ada geng tunggu di luar atau ada pistol. Tak tahu nak kata apa,” ujar tulisan pada video berkenaan.

Dalam pada itu, klip terbabit turut menunjukkan MPV terbabit berjaya dihidupkan dan keluar dari kediaman berkenaan sebelum beredar.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah perompak yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Perkongsian mengenai kejadian tersebut tular dan mendapat lebih 1.5 juta tontonan di TikTok.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*