{VIDEO} Penagih hunus pisau di tempat awam dicekup

SIBU: Suspek yang bertindak menghunus pisau kepada orang awam di Jalan Pulau seperti dalam video yang tular di media sosial baru-baru ini ditahan.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, suspek dipercayai seorang penagih dadah ditahan pada malam Selasa lalu.

Suspek berusia 42 tahun itu kini telah direman selama dua hari (bermula Rabu) untuk siasatan lanjut.

“Suspek ditahan di tepi Jalan Bukit Assek sekitar jam 9 malam pada 27 Disember lepas kerana disyaki memiliki senjata berbahaya di tempat awam.

“Pisau dan motosikal miliknya turut dirampas untuk siasatan,” katanya kepada media.

Zulkipli menambah hasil pemeriksaan latar belakang suspek mendapati dia mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
Beliau menambah, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958 (Disemak 1988).

Pada petang Isnin, satu video tular berdurasi 16 saat di media sosial memaparkan suspek menghunus pisau ke arah orang awam yang lalu-lalang di Jalan Pulau di sini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*