Polis mengesahkan pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Ativa yang melanggar sehingga menyebabkan kematian kakitangan klinik kesihatan di Kilometer 32 Jalan Klang – Teluk Intan adalah pegawai kanan yang bertugas di Bukit Aman.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.17 petang pada 31 Disember lalu, mangsa merupakan lelaki berusia 57 tahun melambung ke dalam parit kecil dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semasa kejadian pegawai kanan polis tersebut sedang bercuti dan kini dirawat di sebuah hospital ekoran turut cedera susulan kemalangan tersebut.
Katanya, berdasarkan video yang tular berkemungkinan pegawai kanan polis tersebut terlelap atau microsleep semasa memandu keretanya.
“Bagaimanapun, kita tunggu keputusan siasatan daripada pihak trafik.
“Kita akan melihat jika ada keperluan untuk membuat tangkapan ataupun tidak, tetapi kita buat ujian air kencing dan didapati negatif selain mengambil keterangannya,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan perjalanan pulang seorang kakitangan Klinik Kesihatan berakhir dengan tragedi apabila motosikal ditungganginya dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 32 Jalan Klang – Teluk Intan, Kuala Selangor.
Hussein memberikan jaminan polis akan menjalankan siasatan secara telus dan adil.
- Baca juga : {VIDEO} Permintaan terakhir, isteri mohon suami halalkan semuanya sebelum jalani pembedahan undang sebak
“Sekiranya dia (pegawai polis) didapati bersalah di bawah Akta Pengangkutan Jalan, kita akan ambil tindakan yang wajar ke atasnya.
“Siasatan dimulakan bersabit dengan kesalahan di bawah seksyen kemalangan maut dan kita akan rujuk kepada pendakwa raya secepat mungkin untuk sebarang keputusan,” ujarnya.
Kata beliau, pihaknya juga yakin dapat melengkapkan siasatan secepat mungkin sebelum dirujuk kepada pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
“Yang penting, kita lengkapkan siasatan daripada saksi-saksi yang ada di tempat kejadian. Selain itu, dibantu keterangan daripada rakaman kamera papan pemuka yang kita sudah perolehi dan juga rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah di kawasan tersebut, ” katanya.
Leave a Reply