{VIDEO} Pekerja kedai aiskrim cedera ditoreh penyamun

Seorang pekerja wanita cedera selepas ditikam mengggunakan pisau pemotong kertas dalam kejadian samun di sebuah kedai aiskrim di Taman Sri Muda di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi tersebut, mangsa berusia 21 tahun mengalami tiga kesan torehan pada bahagian badan.

Mangsa bagaimanapun dilaporkan stabil dan dibenarkan keluar kira-kira pukul 1 pagi tadi selepas menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bekerja seorang diri di kedai tersebut sementara menunggu pekerja-pekerja lain untuk masuk bertugas.

Katanya, seorang suspek lelaki dengan memakai pelitup muka dan bersenjatakan pisau pemotong kertas cuba menyamun mangsa.

“Bagaimanapun, tindakan tersebut berjaya dihalang sehingga mengakibatkan mangsa cedera akibat ditikam suspek.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami tiga torehan di bahagian badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, setakat ini tiada sebarang kerugian dialami mangsa dan syarikat tempatnya bekerja.

Kata Mohd. Iqbal, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) telah berjaya menimbulkan wajah sebenar suspek.

“Usaha sedang giat dijalankan oleh pihak polis untuk kesan dan tangkap suspek pada kadar yang segera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat,” katanya.

Justeru, beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp. Mohd Syer Aidid di talian 0136544996.

Terdahulu tular video berdurasi dua minit 36 saat memaparkan insiden samun dengan suspek menikam mangsa sebanyak lapan kali.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*