{VIDEO} Pecah rumah di Muar, 3 termasuk dua wanita dicekup tempoh 24 jam

Tiga suspek termasuk dua wanita diberkas selepas disyaki terlibat dalam kejadian jenayah pecah rumah di Taman Temiang Utama, di sini semalam.

Ketiga-tiga suspek yang berusia 20-an itu ditahan kira-kira pukul 12.07 tengah malam hari ini selepas melakukan jenayah terbabit kurang dalam tempoh 24 jam.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, suspek ditahan di Bypass Jalan Kim Kee di sini.

“Polis menerima laporan berkaitan kejadian pecah rumah itu pada pukul 12.15 malam semalam daripada mangsa seorang wanita.

“Hasil risikan dan siasatan lanjut pihak polis, telah membawa kepada kejayaan tangkapan tiga suspek dalam tempoh 24 jam terlibat di dalam kejadian pecah rumah di dalam daerah Muar.

“Pihak polis percaya dengan tangkapan ini telah berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah Muar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Raiz Mukhliz berkata, polis masih berjalan dan pihak polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas, manakala jenis barang yang dicuri dan anggaran kerugian mangsa masih dalam siasatan.

“Sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih yang ditinggalkan di tepi jalan dijumpai orang awam dan dua suspek wanita berjaya ditangkap di belukar berhampiran lokasi tangkapan suspek utama dengan bantuan unit K9 dan Unit Rondaan Bermotor (URB),” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*