Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menggesa panglima dan komandan bertanggungjawab dengan meletak jawatan jika gagal menangani kes dera di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Baginda menzahirkan rasa dukacita dengan penderaan sehingga menyebabkan kecederaan serta kematian di UPNM dan mahu budaya tidak sihat terbabit dihentikan demi memulihkan nama baiknya.
Sultan Ibrahim mengakui latihan fizikal dan mental keras diperlukan bagi melahirkan seorang pegawai tentera tetapi tidak sampai sehingga menyebabkan kecederaan serta kematian.
Lebih mendukacitakan baginda, kejadian penderaan terus berlaku seperti tiada usaha serius diambil mana-mana pihak walaupun kejadian sebelumnya telah dibawa ke mahkamah.
“Falsafah utama UPNM ialah untuk menjadi sebuah universiti utama di rantau ini dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan. Disiplin dan budaya tentera adalah menjadi falsafah utama universiti ini.
“Jika penderaan terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan Komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah,” titanya.
Titah baginda pada Istiadat Konvokesyen Ke-14 UPNM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) itu dikongsi menerusi Facebooknya.
Pada 1 Jun 2017, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia selepas didera enam bekas penuntut UPNM yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Menteri Pertahanan Khaled Nordin pada 27 Nov lalu, mengumumkan lima PK Akademi Latihan Ketenteraan UPNM diberhentikan dan diarah membayar ganti rugi kerana terbabit dalam tiga kes penganiayaan.
Bagi kes pertama, pelaku Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan telah menekap seterika ke atas Muhammad Salman Mohd Saiful Surash semasa melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala, pada 28 Okt.
Menurutnya, pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021) itu dibatalkan pelantikan sebagai PK, selain perlu membayar ganti rugi RM44,600 dan telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,
Sementara itu, kes kedua melibatkan tiga pelaku Izzat Izuddin Mohammad Arif (pengambilan 2021); Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan (pengambilan 2023), dan Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi (pengambilan 2021) yang melakukan penganiayaan terhadap Alief Ahsreihan Ahslemy.
Ketiga-ketiga pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam tentera, dan masing-masing dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan sejumlah RM48,452.75; RM19,481.70, dan RM44,600.20.
Kes tiga melibatkan kes penganiayaan secara fizikal oleh Ammar Hafiy Muhammad Habib (pengambilan 2022) terhadap Yeong Kian Rui dengan melibatkan kecederaan ‘soft tissue injury over lower back secondary to trauma’.
Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam tentera, dan dikenakan bayaran ganti rugi RM32,115.95.
Baca juga :
Leave a Reply