{VIDEO} Nahas UiTM Dungun : Suami pemandu mohon maaf, tiada siapa mahu tragedi berlaku

Suami kepada pemandu kenderaan jenis Honda CRV yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan tiga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Dungun ingin bertemu dan memohon maaf kepada keluarga mangsa.

Azhar Ahmad, 53, memaklumkan pada malam kejadian, beliau sememangnya berniat untuk bertemu dengan ahli keluarga pelajar terlibat, bagaimanapun terpaksa ditangguhkan atas nasihat pihak berkuasa dan rakan-rakan.

“Saya menangis dan sangat sedih melihat kemalangan itu, saya mewakili isteri saya ingin memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki dan bersujud kepada semua ahli keluarga pelajar yang terlibat.

“Memang niat saya malam itu juga nak pergi minta maaf kepada semua ahli keluarga pelajar terbabit namun hasrat itu terpaksa saya tangguhkan atas nasihat pihak berkuasa dan rakan-rakan,” katanya.

Azhar berkata, Isterinya sebelum ini adalah seorang isteri yang sangat baik, penyayang kepada anak-anak dan suami.

“Ketika mengandung anak keempat 10 tahun lepas, doktor mengesahkan isteri saya mengandung di luar rahim dan terpaksa digugurkan kandungan itu.Ketika mendapat rawatan di Hospital Kuala Terengganu, dia koma selama empat hari dan kehilangan banyak darah,” katanya.

Tambahnya, selepas sedar dari koma, isterinya mula mengalami gangguan dan sering berhalusinasi dan bercakap bersendirian.

“Saya sudah puas berubat termasuk secara tradisional. Apa sahaja arahan daripada tukang berubat saya buat semuanya, namun semuanya tidak berhasil.

“Walaupun dia begitu, namun isteri saya itu tetap dengan tanggung jawab mengemas rumah, memasak dan tidak suka keadaan rumah dan bersepah.

“Dia juga dengan anak cucu sangat penyayang dan sering membeli dan memasak makanan untuk mereka ,” katanya yang sudah 30 tahun berkahwin dengan wanita itu.

Katanya, pada hari kejadian, sebaik selesai solat maghrib bersama anak bongsunya,dia terkejut apabila mendapati isterinya yang sebelum itu menonton televisyen tiada di ruang tamu.

“Saya dapati pintu pagar rumah terbuka dan ketika itu juga saya perasan dua pasang kasut isteri dan sehelai pakaiannya tiada di rumah.

“Dia tidak pernah keluar waktu malam, kalau keluar mesti ditemani saya dan anak-anak.Kalau keluar pun waktu siang dan dia akan memandu dan pergi minum di kedai kegemarannya tidak jauh dari kampus itu.

“Tak sampai beberapa minit, saya dihubungi rakan memaklumkan kereta saya terlibat kemalangan dan saya ajak anak bongsu saya terus ke tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia terkejut melihat keadaan mayat seorang pelajar berada di atas jalan.

“Saya ingat seorang mangsa,rupanya tiga orang. Saya sangat sedih melihat keadaan itu. Selepas isteri saya dibawa anak masuk ke kenderaan polis, saya pergi ke lokasi mayat terbabit dan mencari ahli keluarga mangsa untuk memohon maaf dan dimaklumkan kesemua mangsa orang luar dari Dungun.

“Saya segera meninggalkan lokasi kejadian selepas diarahkan pihak polis ke balai untuk diambil keterangan,” katanya.

Katanya, pagi semalam dia sekali lagi hendak pergi bertemu keluarga mangsa di Bilik Forensik Hospital Dungun namun dinasihatkan untuk tidak melakukan sedemikian kerana bimbang berlaku kekecohan.

“Saya sangat kesal dengan kejadian itu, mungkin ketika itu dia (isteri) seolah-olah dipanggil untuk segera keluar dari rumah.

“Tiada siapa mahu kejadian sebegini, saya dah sorok kunci kereta namun perkara tetap terjadi,” katanya.

Selain itu, Azhar berkata, dia berharap supaya pihak pengurusan UiTM dapat membantunya untuk bertemu dengan semua ahli keluarga mangsa yang terbabit.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*