Muhyiddin tolak cadangan Agong bentuk kerajaan perpaduan. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan supaya Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun memaklumkan kepada baginda yang pihaknya tidak mahu bekerjasama dengan PH kerana itu menjadi prinsip gabungan itu sejak dulu.
Muhyiddin berkata, beliau diminta menandatangani satu dokumen, namun beliau menulis nota menyatakan tidak bersetuju mengenai cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan.
“Tuanku mencadangkan supaya kita (PN) bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan, tetapi kami telah bincang perkara itu sejak awal lagi kami tidak akan bekerjasama dgn PH, itu adalah pendirian parti kita sejak dulu sampai ke hari ini,” katanya dalam sidang media semalam.
Tambah beliau, walau atas tujuan sekali pun PN tetap tidak akan bersetuju.
” Saya diminta untuk menandatangani dokumen jika kami bersetuju, ada turunkan tandatangan tetapi saya menulis bahawa kami tidak bersetuju,” katanya.
Sebelum itu, Muhyiddin dilaporkan telah pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara jam 4.30 petang bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Perjumpaan tersebut berlangsung sekitar 45 minit dan Muhyiddin dilihat meninggalkan perkarangan Istana jam 5.10 petang.
Leave a Reply