{VIDEO} MP Pulai tuntut penjelasan insiden tengking di KLIA, polis bermasalah dipindah ke Sabah

Beberapa ahli parlimen pembangkang menuntut kerajaan memberi penjelasan di Dewan Rakyat berhubung dakwaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Mohd Shafiq Abdullah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan imigresen di KLIA.

Mereka juga menuntut penjelasan berhubung tindakan memindah sembilan anggota polis bermasalah ke Sabah.

Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub merupakan wakil rakyat pertama yang menggesa menteri berkaitan mengeluarkan kenyataan berhubung insiden didakwa berlaku di KLIA itu.

“Ini melibatkan nama baik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), iaitu insititusi yang sangat dihormati.

“Jadi saya rasa seorang menteri dari Jabatan Perdana Menteri perlu datang ke dewan dan beri penjelasan…agar tiada salah komunikasi atau salah maklumat,” katanya selepas sesi soal jawab menteri hari semalam.

Memandang hari semalam adalah hari terakhir sidang Dewan Rakyat kali ini, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar mencadangkan menteri yang bertanggungjawab terhadap JPA untuk memberi penjelasan.

Pemindahan polis

Salahuddin turut menyusuli Ahli Parlimen Sepanggar Azis Jamman dalam menggesa menteri memberi penjelasan mengapa polis memindahkan sembilan anggotanya yang bermasalah untuk bertugas di Sabah.

Menurut Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming pula, Sabah dan Sarawak bukan “tong sampah” untuk anggota polis yang terbabit dengan salah laku.

“Tindakan disiplin patut diambil (terhadap anggota tersebut) untuk menjaga integriti perkhidmatan awam kita, maka perlu untuk menteri datang ke Parlimen dan beri penjelasan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin berkata Sabah tidak menerima anggota polis bermasalah seperti itu.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon kemudian berkata dia mengambil maklum cadangan mereka dan akan menyampaikannya kepada speaker, Azhar Harun.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*