{VIDEO} Misteri bau busuk di parkir hotel terbiar terjawab

Bau busuk dari bahagian parkir aras bawah sebuah hotel di sini rupanya bau mayat seorang lelaki.

Mayat itu ditemukan seorang kakitangan hotel berusia 40-an kira-kira jam 9 pagi tadi ketika dia membuat kerja pemantauan sebelum proses mengepam air dibuat berikutan aras itu digenangi air sedalam 0.4 meter akibat hujan.

Dia yang enggan dikenali berkata, bau busuk sudah kerap dihidu memandangkan hotel terbabit sudah tidak beroperasi sejak tiga tahun lalu dan kini dalam proses membuka semula premis berkenaan.

“Ketika sedang membuat pemantauan, saya terhidu bau busuk dari aras bawah dan menyangkakan ia bau bangkai haiwan kerana banyak yang mati kerana hotel ini sudah lama tidak beroperasi.

“Bagaimanapun saya cuba mencari arah bau busuk terbabit dan ternampak mayat seorang lelaki berpakaian lengkap di satu penjuru sebelum menghubungi pihak polis,” katanya.

Saksi berkata, walaupun hotel itu tidak beroperasi, pemantauan tetap dijalankan termasuk kerja mengepam air di aras bawah yang dilakukan sebulan sekali.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Mayat dibawa menggunakan kenderaan polis jam 6.20 petang untuk proses bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

Operasi mengeluarkan mayat itu turut dibantu 10 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu yang menyediakan dua pam.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, seramai 10 anggota dikerahkan ke lokasi untuk menyedut keluar air dari aras bawah itu.

“Kerja mengepam keluar air menggunakan dua pam dan operasi berjalan selama tiga jam sebelum air sedikit surut dan kerja mengangkat mayat dibuat pihak polis,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*