{VIDEO} Mengucap panjang tengok budak tercampak keluar ketika kereta U turn

SEORANG budak perempuan dipercayai tercedera selepas tercampak keluar dari sebuah kereta ketika kenderaan terbabit sedang membuat pusingan U di sebuah jalan raya pada Selasa.

Insiden itu disyaki berlaku akibat kecuaian si penjaga yang tidak mengunci pintu di bahagian penumpang belakang yang sekali gus menyebabkan kanak-kanak malang itu terpelanting ke tengah jalan.

Lebih parah apabila si kecil itu kemudiannya dirempuh sebuah kereta berwarna putih dan Ativa merah yang gagal menekan brek dan mengelak daripada pelanggaran tersebut.

Menyedari kejadian itu, beberapa penunggang motosikal kemudiannya terus meluru ke arahnya untuk memberikan bantuan.

Dalam pada itu, kanak-kanak terbabit kelihatan masih lagi boleh berdiri dan terus berlari ke arah seorang penunggang yang berada di kawasan itu.

Susulan insiden tersebut, laluan terbabit bertukar sesak dan kereta yang membawa kanak-kanak itu tidak kelihatan selepas daripada kejadian berkenaan.

Di ruangan komen rata-ratanya meluahkan rasa kesal terhadap insiden yang berlaku.

“Ya ALLAH, mengucap aku tengok budak itu kena rempuh, ibu bapa dia langsung tak peka keselamatan anak, tak kunci pintu belakang ke macam mana,” kata Syazwani.

“Sebab itu kerajaan mewajibkan pemakaian kerusi kanak-kanak, nak elak kes macam ini berlaku, kalau kena tahan mesti ibu bapa dia akan dikenakan saman,” ujar Hamadi Yusri.

“Sakitnya budak itu terpelanting, tengok pun tahu mesti sakit kepala berdarah dan bengkak, yang pemandu Ativa itu langsung tak keluar kereta kenapa,” tambah Ahmad Kamalrudin.

Walau bagaimanapun, lokasi kejadian tidak diketahui setakat ini dan belum ada sebarang kenyataan polis berkaitan isu tersebut.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati ketika memandu dan peka dengan keselamatan penumpang sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*