{VIDEO} “Memang sedih sangat… Rakaman suara ayah mengaji al-Quran jadi pengubat rindu saya’

Baling: “Setiap kali cuti sekolah panjang, saya akan pulang ke kampung untuk bersama ayah di rumah ini dan setiap kali memasak, saya akan rakam video masakan itu.

“Tapi bila ayah dah tak ada, saya mainkan semula video itu dan terdengar suara latar ayah mengaji al-Quran, memang sedih sangat sebab saya rindukan dia,” kata Nur Aina Sofiya Sabari, 28, anak kepada mangsa bunuh, Sabari Baharom, 62.

Nur Aina Sofiya berkata, dia bertugas sebagai guru di Sarawak bergegas pulang sebaik mengetahui berita berkaitan bapa mereka dicampak di Sungai Padang Terap, Kampung Empa, Jalan Wang Tepus, di Jitra.

Katanya, sebelum ini dia cuba berfikiran positif yang bapa mereka ‘hilang’ sekejap dan mungkin akan pulang semula ke rumah dan mereka boleh bertemu semula.

“Tetapi apabila saya dimaklumkan oleh kakak dan adik bahawa jasad ayah dibuang ke dalam sungai, memang saya tak tahu nak cakap apa. Memang sedih.

“Biasanya ayah akan minta saya masakkan untuknya masak lemak belimbing buluh atau masakan kampung yang keseluruhannya saya kutip sayur atau ulam di keliling rumah.

“Kali terakhir saya bercakap dengannya ketika saya berada di Sarawak iaitu pada 2 September lalu dan ayah beritahu dia baru selesai masak pajeri nanas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, di sini, hari ini.

Menurutnya, memang menjadi rutin, setiap hari dia akan menghubungi bapanya dan berkongsi cerita.

Katanya, bapanya akan beritahu berkaitan aktiviti dia ke masjid dan apa yang dia buat setiap hari seperti berkebun.

“Tapi bila dia dah tak ada, memang saya sunyi kerana bagi saya, sayalah anak yang paling manja dengan ayah kerana kakak dan adik sudah berkahwin.

“Saya berharap pelaku yang terbabit dalam kes ini dikenakan hukuman yang setimpal kerana ayah seorang yang baik dan pemergiannya tiada ganti,” katanya.

Sementara itu kakak sulungnya, Suraiya Izzati, 29, berkata, setiap kali pulang ke kampung, bapa mereka akan cepat-cepat buka pintu rumah kerana bimbang di luar banyak nyamuk.

Katanya, kini selepas kejadian itu, apabila pulang ke rumah bapanya di sini, dia terasa kosong namun teringat seolah-olah bapanya masih ada.

“Lebih menyedihkan, pada hari pertama saya balik untuk mencari ayah, saya nampak al-Quran ayah masih atas meja belakang kerana biasanya ayah akan habiskan waktu membacanya di situ.

“Namun kami bersyukur kerana ayah sempat melihat dua cucu iaitu anak sulung saya dan anak adik (Muhammad Amir Hakimi) yang lahir Ogos lalu.

Turut baca :

“Biasanya kalau berkumpul masa hari raya atau semua anak-anak pulang ke sini, ruang tamu dan halaman depan rumah menjadi tempat kami bersantai,” katanya.

Suraiya Izzati berkata, dengan izin Allah, mereka mungkin boleh berjumpa bapa mereka di lokasi sungai berkenaan jika air surut nanti.

Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati kedudukan rumah Sabari dengan kediaman yang dalam pembinaan dan sebuah rumah penduduk dalam lingkungan 100 meter.

Laluan ke kawasan itu juga agak sunyi terutama pada waktu malam dan kedudukan rumah Sabari terletak di sebelah kebun getah.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*