LIMA sekeluarga berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dimasuki penyamun bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Sitiawan, Perak pada 20 Mei lepas.
Kejadian pukul 9 malam itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) rumah mereka sebelum dikongsikan di media sosial pada Jumaat lalu.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan, namun mangsa mengalami kerugian kira-kira RM7,000, selain turut menyebabkan mereka sekeluarga menjadi trauma.
Lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dimasuki penyamun bersenjatakan parang dalam kejadian sebuah taman perumahan di Setiawan, Perak pada 20 Mei lepas. pic.twitter.com/nHzQifC2ru
— iftitah_rozlan (@iftitahrozlan) May 27, 2024
Pemilik rumah yang enggan mendedahkan identitinya berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang bersiap sedia untuk tidur.
Menurutnya, pagar di luar rumah sudah pun ditutup, namun malangnya, pintu hadapan tidak berkunci.
“Ketika itu, saya sedang duduk di meja makan sambil berbual dengan anak lelaki berusia 11 tahun dan anak perempuan (14), tiba-tiba mata mereka ditutup.
“Pada mulanya saya fikir ia hanyalah gurauan sesama keluarga, tetapi apabila mendengar anak perempuan saya menjerit ketakutan, saya sedar ada sesuatu yang tidak kena.
“Gelang emas saya dibawa lari oleh perompak. Suami keluar dari bilik sebaik mendengar bunyi bising, namun dia ditolak ke ruang tamu oleh perompak dan diberi amaran supaya tidak melawan,” katanya memetik laporan Perak China Press.
Tambah wanita tersebut, perompak mengambil wang tunai daripada dompet suaminya dan masuk ke bilik tidur untuk mencari barang berharga sebelum segera melarikan diri dari tempat kejadian.
“Seluruh proses hanya berlaku dalam tempoh tak sampai dua minit. Kedua-dua perompak itu tinggi dan kurus, umur dalam lingkungan dua puluhan, memakai topi besbol serta bertopeng,” ceritanya.
Wanita itu turut memberitahu, mereka sekeluarga begitu takut hingga memutuskan untuk berjaga sepanjang malam.
Kongsinya lagi, dia tetap menghantar anak-anaknya ke sekolah keesokan hari bagi mengalih perhatian mereka terhadap kejadian mendebarkan itu.
Dia turut memaklumkan, beberapa hari sebelum insiden itu, seorang penduduk kampung memuat naik hantaran di Facebook bagi mengingatkan penduduk agar berhati-hati dengan sebuah kereta yang mencurigakan di sekitar kawasan perumahan mereka.
“Saya tidak pasti sama ada kereta itu ada kaitan dengan rompakan ini dan berharap polis akan mengesahkannya.
“Pihak polis Manjung telah datang untuk menyiasat dan mengumpul bukti,” jelasnya.
Turut baca :
Leave a Reply