{VIDEO} Lelaki OKU kurang siuman cuba cabul wanita ditangga dicekup polis

Seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak di luar kawalan apabila dipercayai menyerang dan mencabul wanita di sebuah tangga rumah kedai dekat Tuaran, Sabah pada Ahad.

Perbuatan terkutuk itu berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) tempat kejadian yang menyaksikan si pelaku memeluk erat wanita berkenaan dari arah belakang dalam keadaan mangsa terduduk dan meronta-ronta melepaskan diri.

Selepas gagal meloloskan diri daripada pelukan lelaki terbabit, mangsa kemudiannya dilepaskan dan kelihatan individu berkenaan terus beredar dari lokasi tersebut.

Kejadian itu berlaku dalam tempoh 34 saat seperti yang dirakam dalam video berkenaan dan menerima lebih 30,000 jumlah tontonan di Facebook setakat ini.

 

Wanita terbabit yang berpakaian tradisional Sabah, dilihat tidak mengalami sebarang kecederaan dan terus bangun sebaik terlepas daripada serangan tersebut.

Dalam pada itu, sebuah lagi video tular di laman Facebook turut memaparkan tindakan si pelaku yang mengganggu pekerja di sebuah premis kedai.

Mempamerkan perbuatan tidak senonoh dan jelik terhadap mangsa, kejadian itu dipercayai berlaku pada hari berlainan selepas daripada kejadian cabul itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Noraidin Awang Maidin, suspek berusia 29 tahun dipercayai kurang siuman ditahan pukul 3 pagi, Ahad dan saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

“Hasil siasatan mendapati, suspek berasal dari daerah Tuaran. Suspek tidak siuman dan merupakan pesakit yang berdaftar di Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.

“Suspek baru sahaja sehari keluar dari wad hospital berkenaan dan menerima rawatan susulan setiap minggu.

“Siasatan juga turut mendapati suspek merupakan seorang penagih dadah,” ujar Noraidin dalam satu kenyataan pada Isnin.

Noraidin berkata, secara keseluruhan polis menerima tiga laporan polis yang dibuat oleh tiga mangsa berbeza berusia dalam lingkungan 15 hingga 31 tahun yang mendakwa dicabul oleh suspek.

“Kesemua mangsa membuat laporan dicabul oleh lelaki tidak dikenali antara pukul 1 tengah hari hingga 4 petang Ahad.

“Mangsa mengatakan suspek telah datang secara tiba-tiba memeluk dan mencabul mangsa,” katanya.

Selain mencabul, suspek turut dipercayai merampas beg tangan dan melarikan wang tunai salah seorang mangsa.

Tambahnya, suspek yang ditangkap dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*