{VIDEO} Lelaki mengamuk selepas anak dan isteri tercampak dari ‘sotong ride’

SEORANG wanita dan kanak-kanak lelaki cedera selepas dipercayai terjatuh daripada salah satu permainan taman tema dalam kejadian di Taiping, Perak pada Khamis.

Kedua-dua mangsa didakwa terjatuh daripada permainan dikenali sebagai ‘sotong ride’ ketika ia sedang berpusing.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan pengguna warga maya, Iman Hafizah, kerusi permainan itu patah sebelum terjatuh kerana dikatakan tidak dapat menampung berat mangsa dan ibunya.

“Budak tercampak, kerusi patah,” tulisnya.

Susulan daripada kejadian itu, seorang lelaki berbaju merah dipercayai bapa mangsa dilihat mengamuk dan memarahi salah seorang pekerja taman tema berkenaan.

Malah, dia juga dilihat bertindak mengasari pekerja tersebut dengan melepaskan beberapa tumbukan pada pekerja tersebut.

Kejadian itu turut menimbulkan kekecohan dan orang awam yang berada di tempat kejadian mengerumuni kawasan itu.

Sementara itu, seorang lagi warga maya Endrendrum Punnagaiyudan Sargu tampil menjelaskan isu tersebut.

“Lelaki berbaju merah tersebut adalah sepupu saya. Semalam (Khamis) dia membawa isteri dan anaknya ke taman tema berkenaan.
” Mereka tidak menyedari salah satu daripada kerusi ‘sotong ride’ itu patah dan terus duduk.

“Selepas beberapa minit main permainan tersebut, kerusi itu tiba-tiba patah sekali gus menyebabkan anak dia yang berusia lebih setahun serta isterinya terjatuh sehingga cedera.

“Anak sepupu saya cedera dan berdarah di bibir dan isterinya juga mengalami pendarahan di kepala, ” katanya.

Tambahnya lagi, sepupunya bertindak mengasari pekerja taman tema itu kerana terlalu marah.

“Pihak taman tema sepatutnya memeriksa terlebih dahulu semua permainan mereka tetapi gagal.

“Jangan salahkan satu pihak, kalau anda sebagai ayah apa yang akan anda lakukan?” katanya.

Namun setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang terlibat mahupun pihak berkuasa.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*