{VIDEO} Lelaki lagak ‘samseng jalanan’ diberkas polis

Seorang lelaki warga tempatan dengan lagak ‘samseng jalanan’ yang memberhentikan kenderaannya di tengah Jalan SS8/2, di sini Sabtu lalu, ditahan polis kelmarin, berhampiran jalan Sungai Penchala.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata suspek yang bekerja sebagai pemandu van ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 3.20 petang.

“Suspek yang berumur 31 tahun itu ditahan bagi siasatan berkaitan tindakannya menerusi satu video tular pada hari Sabtu.

“Suspek direman tiga hari bagi siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang perlakuan jenayah boleh menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03 – 79662222,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi dua minit 20 saat di Twitter, memaparkan tindakan seorang lelaki berlagak samseng dengan memberhentikan kenderaannya di tengah jalan.

Suspek turut mengeluarkan sebatang rotan panjang dari kenderaannya dan cuba menghayun objek itu ke arah mangsa.

Susulan itu, satu kenyataan dikeluarkan polis untuk memburu suspek berkenaan setelah selesai merakam keterangan seorang lelaki yang menjadi mangsa buli itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*