{VIDEO} Lelaki ‘hati kering’, guna parang samun pelanggan gerai asam pedas

Lelaki ‘hati kering’, guna parang samun pelanggan gerai asam pedas. Seorang pelanggan sebuah gerai menjual masakan asam pedas menempuh detik mencemaskan apabila disamun individu berparang dalam kejadian di Morib di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 1.43 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku ketika mangsa berumur 55 tahun itu berada bersama rakannya di gerai berkenaan.

“Mangsa kemudian didatangi suspek dipercayai lelaki tempatan yang bersenjatakan parang sebelum bertindak mengangkat parang ke arah mangsa.

“Suspek kemudian mengugut mahu mencederakan mangsa dan meminta mangsa menyerahkan beg sandang miliknya,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, mangsa menyerahkan begnya kepada suspek sebelum suspek melarikan diri.

“Siasatan mendapati suspek menggunakan kenderaan jenis Toyota Camry ketika melarikan diri selepas menyamun mangsa.

“Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM600 akibat kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, usaha memburu suspek terlibat sedang giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan.

“Sebarang maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 1 minit 16 saat memaparkan seorang pelanggan disamun individu berparang dalam kejadian di sebuah gerai di Morib, Banting di sini.

Kejadian itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di gerai berkenaan sebelum didapati tular di media sosial.

Hantaran yang dimuat naik menerusi media sosial itu memaparkan ketika kejadian mangsa dilihat sedang minum bersama seorang lagi rakannya sebelum mangsa kemudiannya disamun suspek.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*