{VIDEO} Langgar lampu isyarat merah, budak sekolah terperosok diseret lori

SEORANG penunggang motosikal dipercayai cedera parah selepas dirempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat dekat Parit Putat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Sungai Rambai, Melaka pada petang Isnin.

Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang berhenti di lampu isyarat di persimpangan terbabit.

Menerusi maklumat awal yang dikongsikan di media sosial, mangsa yang merupakan pelajar di sebuah sekolah menengah difahamkan kini berada di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk menerima rawatan lanjut.

Berdasarkan rakaman berdurasi 20 saat yang dimuat naik di laman Facebook Melaka Hari Ini, kemalangan terbabit berpunca daripada perlanggaran lampu isyarat.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kesalahan itu berpunca daripada siapa, sama ada penunggang motosikal atau pemandu lori yang melanggar lampu isyarat.

Kejadian kemalangan itu turut disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Siti Faizah ketika itu difahamkan dalam perjalanan ke Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Mini Stadium Bistari Ayer Keroh.

 {VIDEO} Langgar lampu isyarat merah, budak sekolah terperosok diseret lori
Tangkap layar keadaan mangsa selepas kemalangan terbabit.

Namun atas rasa tanggungjawab, beliau mengambil keputusan untuk membatalkan perancangannya bagi membantu mangsa kemalangan terbabit.

“Kejadian berlaku betul-betul depan kenderaan saya tadi.

“Sekarang saya berada di (HPSF) bersama keluarga mangsa yang berasal dari Batu Gajah.

“Saya mohon semua doakan agar Mohd Ikram tiada kecederaan serius dan dipermudahkan urusan rawatan,” katanya yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Jasin.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi mengesahkan mengenai kejadian tersebut yang melibatkan seorang pelajar Tingkatan Tiga, Muhammad Iqram Rosli dalam insiden sekitar pukul 2.50 petang.

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan dari arah Muar menghala ke Jasin. Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat AMJ Parit Putat, pemandunya meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat hijau.

“Bagaimanapun, sebuah motosikal Honda Wave dari arah jalan kiri pekan Sungai Rambai didakwa keluar dari simpang dan dirempuh lori kerana pemandunya tidak sempat membrek dan mengelak.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal yang juga pelajar sebuah sekolah menengah patah tangan dan cedera parah di badan manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Jamil berkata, mangsa yang dilapor mengalami kecederaan patah tangan dan parah di badan dibawa oleh ambulans ke Hospital Muar dan kini dirawat di zon merah.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*