{VIDEO} Kes jatuh ‘sotong ride’, keluarga 2 beradik mahu saman pengusaha pesta

Keluarga dua beradik yang cedera akibat terjatuh dari permainan “sotong ride” di sebuah pesta ria di Shah Alam mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pengusaha terbabit.

Dalam kejadian malam tadi, Noraziera Zulkiffle, 31, dan adiknya berusia 11 tahun, Shahfaraz Aiefan, cedera selepas terjatuh daripada permainan itu di Puncak Alam, Selangor. Selain dua beradik itu, seorang lagi wanita turut cedera.

Ibu mangsa, Faizah Mat Sam, 52, berkata keluarganya masih membincangkan langkah seterusnya, termasuk melantik peguam, selepas dua laporan dibuat di Balai Polis Jeram dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor hari ini.

“Saya kecewa dengan apa yang berlaku dan kami akan mengambil tindakan perundangan,” katanya menurut Sinar Harian.

“Anak sulung saya (Noraziera) mengalami hentakan kuat di bahagian kepala dan bengkak pada kaki kiri, manakala anak bongsu saya (Shahfaraz) cedera di bahagian mata dan kaki kiri.”

Turut baca :

Sementara itu, Nurazliyana, 17, yang merupakan adik Noraziera berkata, dia dan seorang lagi adiknya, Nurazriyanie, 15, duduk di belakang kakaknya.

Beliau terkejut apabila terdengar bunyi besi keselamatan tercabut dan kakaknya tercampak keluar dari tempat duduk, tidak sampai seminit selepas permainan itu bergerak dan berpusing ke udara.

“Sebaik permainan itu dihentikan, saya terus menghampiri kedua-dua mereka dan terdengar suara kakak yang menyatakan rasa sakit,” katanya sambil menambah dua beradiknya itu dibawa menaiki ambulans kira-kira 40 minit selepas terjatuh.

Terdahulu, media melaporkan tapak pesta ria itu disita pada 29 Nov lalu kerana beroperasi tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat dilaporkan berkata, operasi pesta ria itu tidak mendapat kebenaran polis serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, selain notis kompaun sudah diserahkan kepada pengusaha.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Ramli Kasa pula berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini, tetapi kes itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk membuat pertuduhan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 atas kesalahan beroperasi tanpa lesen.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*