Muadzam Shah: Tiga wanita termasuk dua beradik maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori treler di Jalan Muadzam Shah – Rompin, berhampiran kilang Farm Fresh, dekat sini, malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 10 malam.
“Enam anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera dan mendapati berlaku kemalangan antara lori dengan kereta.
- Turut baca : Terperangkap gempa : Laungan ‘Allahuakbar’ iringi kejayaan anggota SMART keluarkan 5 sekeluarga
“Terdapat tiga mangsa wanita yang tersepit dalam kereta terbabit yang remuk teruk dan bomba terpaksa menggunakan peralatan menyelamat hidraulik untuk mengeluarkan mereka, manakala pemandu lori treler selamat.
“Bomba berjaya mengeluarkan semua mangsa yang tersepit, namun pemeriksaan oleh pasukan perubatan mendapati mereka bertiga sudah meninggal dunia dan mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mereka yang meninggal dunia dikenali Nurul Natasha Ahmad Akbal, 21, serta dua beradik, Suhada Ramli, 21, dan Nazira Ramli, 23, masing-masing dari Felda Selendang Satu, Rompin.
Leave a Reply