GEORGE TOWN – Kegembiraan tujuh sekeluarga menyambut Hari Raya Aidiladha bertukar pilu apabila kediaman pusaka yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Taman Desa Penaga, Jelutong semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, sebahagian ahli keluarga dikatakan sedang menyiapkan juadah untuk dinikmati di pagi raya.
Mereka terdiri seorang ibu warga emas berusia 79 tahun bersama anak lelaki dan perempuan serta empat cucu.
Mangsa, Rashid Ismail, 53, berkata, semasa kejadian dia bersama isteri dan adik perempuan masing-masing sedang menyediakan makanan di dapur, sebaik selesai solat sunat Aidiladha.
Menurutnya, dia ternampak asap dari salah sebuah bilik di tingkat atas kediaman peninggalan arwah bapa.
“Kami sebelum itu sedang menyediakan minuman kopi dan memanaskan sup daging untuk dimakan bersama. Saya terus naik ke atas dan mendapati api mula marak di sebahagian ruang bilik dan turut memusnahkan katil dan rak buku.
Saya cuba padamkan api dengan menggunakan pili tetapi api semakin hingga ke bahagian bumbung bilik. Ketika itu, saya terus jerit supaya mereka keluar selamatkan diri dan mengangkat ibu berusia 79 tahun keluar dari rumah.
“Api marak hanya dalam tempoh dua minit, kami tak sempat menjamu juadah raya yang disediakan dan kini hanya tinggal sehelai sepinggang,” katanya.
Beritahu Rashid lagi, dalam kejadian itu, dia mengalami kecederaan pada tapak tangan dan pipi sebelah kanan akibat terkena bahang api ketika mahu mengambil kunci kereta.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, A’Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 9.02 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Anggaran peratusan kemusnahan rumah terbabit adalah 100 peratus dan kebakaran turut melibat dua unit kereta jenis Perodua Axia, sebuah Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego.
“Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal kebakaran tersebut. Dalam kejadian itu, terdapat dua mangsa iaitu lelaki mengalami kecederaan pada tangan, manakala adik perempuannya mengalami tekanan darah tinggi.
“Keadaan mangsa stabil dan diberi rawatan di lokasi kejadian. Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba forensik ,” katanya.
Turut baca :
Leave a Reply