{VIDEO} Kecoh peniaga diperas ugut lelaki menyamar polis di Kedah

Kecoh di media sosial sejak jumaat berkenaan isu seorang peniaga yang mendakwa diperas ugut oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis di Kulim, Kedah.

Menerusi video yang dikongsikan oleh peniaga terbabit di Facebook pada Khamis, dia dilihat memarahi anggota palsu itu selepas sudah beberapa kali terkena ketika sedang berniaga di hadapan sebuah kilang ketika itu.

Peniaga terbabit, Razali Hassan, 36, mendakwa, lelaki yang memakai uniform lengkap seperti seorang anggota polis itu sudah lebih tiga kali datang ke lokasi tersebut dan meminta wang daripada semua peniaga yang berada di kawasan yang sama.

“Perkara ini sudah terjadi banyak kali pun sebelum video itu tular dan lelaki itu sering datang ke setiap tempat kami berniaga untuk minta duit.

“Lelaki itu memang menyamar dan selalu minta RM5 kepada setiap peniaga termasuk saya kononnya bertindak sebagai pihak berkuasa yang tidak benarkan kami berniaga di tempat itu,” katanya.

Katanya, dia sudah berkali-kali menegur lelaki itu dengan secara baik, namun perkara tersebut tetap berulang dan ia tidak boleh dielakkan lagi.

“Sebelum ini saya sendiri dah cakap dengan dia jangan kacau kami, jika tidak saya akan laporkan kepada polis tetapi dia masih juga berdegil dan tetap menganggu.

“Sampai satu tahap saya sudah tidak boleh bersabar lagi yang menyebabkan saya marah dan dia terus melenting pada waktu itu,” tambahnya lagi.

Razali yang juga merupakan seorang peniaga makanan secara kecil-kecilan itu juga menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan lelaki tersebut kerana dianggap telah mengambil kesempatan.

“Saya tidak ganggu orang lain dan saya memang patuh dengan arahan pihak berkuasa yang pernah menegur untuk tidak berniaga secara buka khemah di sini kerana ia jalan raya laluan kenderaan.

“Jadi, saya berniaga menggunakan bonet kereta saya sahaja dan memang tidak buka sebarang khemah, kerusi, meja atau barang untuk memasak kerana hanya menjual makanan sedia untuk dimakan.

“Tetapi saya menjadi marah apabila ada orang seperti dia datang menganggu saya bekerja,” katanya.

Susulan kejadian yang berlaku itu, Razali mengambil keputusan untuk membuat laporan polis dan menurutnya salah seorang rakannya telah menawarkan bantuan untuk membuat laporan tersebut.

Bagaimanapun, dia masih belum mengetahui sebarang status tentang laporan yang dibuat oleh rakannya itu.

“Saya sudah serahkan perkara ini kepada rakan saya yang juga merupakan salah seorang peniaga di situ dan dia mahu bantu saya membuat laporan kejadian itu sebagai memeras ugut.

“Tetapi saya masih belum tahu jika dia sudah buat atau tidak kerana kesibukan kerja lain,” katanya lagi.

Sementara itu, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian setakat ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*