{VIDEO} “Kecil-kecil dah perangai macam ni…” Tak nak ikut rakan ponteng sekolah, pelajar tingkatan 3 dibelasah

“Kecil-kecil dah perangai macam ni…” Tak nak ikut rakan ponteng sekolah, pelajar tingkatan 3 dibelasah.

Seorang pelajar tingkatan tiga dipukul dipercayai kerana enggan mengikut rakannya ponteng sekolah di Jalan Prima Pelangi 7, Bukit Prima Pelangi, Segambut, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa berhubung insiden itu pada pukul 5.33 petang.

Susulan itu, beliau berkata, polis menahan seorang suspek lelaki berusia 15 tahun pukul 1.22 pagi Sabtu.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa tidak mahu mengikut suspek ponteng sekolah.

“Berikutan itu, suspek dikatakan tidak berpuas hati dan memaksa mangsa menaiki motosikal sebelum membawanya ke lokasi kejadian berhampiran sebuah kondominium di lokasi kejadian.

“Suspek kemudian didakwa memukul mangsa berkali-kali di muka dan dada dengan menggunakan helmet,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, Ahmad Sukarno berkata, pihaknya turut merampas sebuah helmet jenis MS88 yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 10 tahun, denda atau sebatan,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang pelajar sekolah menengah berpakaian sukan berwarna merah sedang memukul seorang remaja dipercayai rakannya di kawasan berkenaan.

Pada masa sama, video tersebut juga tular di media sosial sejak Sabtu serta mengundang kemarahan warganet.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*