{VIDEO} Isu kematian Al Fateh: Pengasuh mengangguk faham, menangis di kandang tertuduh

SEORANG pengasuh berusia 34 tahun didakwa membunuh bayi berusia lapan bulan di sebuah pusat asuhan di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, Melaka pada Jumaat.

Tiada pengakuan dibuat ketika Nor Afifah Abdullah Suhaimi didakwa di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee kerana kes pembunuhan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh juga dilihat menangis teresak-esak di kandang tertuduh.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun dengan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh, ibu kepada tiga anak, didakwa menyebabkan kematian bayi itu di Taman Asuhan Kanak-Kanak Anak Pintar Soleha di KM32, Jalan Kelemak Utama, antara pukul 7.30 pagi dan pukul 8.30 pagi 6 September lepas.

Pengarah pendakwaan Melaka Ahmad Sazali Omar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.

Mahkamah menetapkan 13 November untuk sebutan seterusnya.

Sebelum ini, media melaporkan tentang bayi berkenaan yang meninggal dunia sejurus selepas dihantar ke taska di Alor Gajah oleh ibu dan datuknya pada pukul 7.05 pagi.

Si ibu kemudiannya menerima panggilan dari taska meminta dia mengambil anak itu.

Sebaik tiba, ibu mendapati mayat bayi itu telah bertukar menjadi biru dan hidungnya berdarah.

Bayi itu dikejarkan ke Hospital Alor Gajah kemudian disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah memberitahu media bahawa bedah siasat mendapati bayi itu meninggal dunia akibat sesak nafas.

Polis Melaka kemudiannya menahan tertuduh pada 7 September lepas.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*