HAJAT seorang lelaki membeli nasi kukus dari sebuah premis niaga bertukar tragedi apabila dirempuh sebuah bas ketika berhenti di tepi laluan jalan raya dekat Klebang Putra, Ipoh, Perak pada Isnin.
Dalam insiden dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.50 petang itu, individu terbabit pada mulanya dilihat membonceng motosikal bersama rakannya sebelum beratur untuk membeli nasi kukus di gerai tepi jalan terbabit.
Namun tidak semena-mena, pembonceng terbabit kemudiannya terperosok di bawah kenderaan bas sekolah tersebut selepas dirempuh dari arah belakang manakala rakannya terselamat
Bergerak laju di laluan berkenaan, pemandu bas itu dipercayai hilang kawalan akibat kerosakan pada stereng yang dikatakan tercabut ketika memandu.
Dirakamkan menerusi kamera dashcam pemandu di premis terbabit, insiden itu kemudiannya tular di laman media sejak Selasa dan hangat diperkatakan warganet.
Namun, penunggang motosikal itu, Alang Shafiq mengesahkan bahawa tiada sebarang kecederaan dialami rakannya dalam kejadian tersebut.
“Mangsa, rakan saya selamat, syukur tiada kecederaan dialami memang Tuhan sayangkan kami,” katanya di ruangan komen.
Berdasarkan rakaman yang tular, hanya terdengar jeritan pemilik dashcam itu yang tak putus-putus menyebut “Ya ALLAH!” berulang kali selepas nahas terbabit.
Pemandu bas itu juga difahamkan tidak mengalami sebarang kesan luka mahupun kemalangan jiwa dan hal berkenaan diselesaikan secara baik oleh kedua-dua belah pihak.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihati agar sentiasa berhati-hati ketika berhenti membeli di tepi jalan raya dengan kemalangan tersebut perlu dijadikan pengajaran oleh setiap masyarakat supaya tidak berlakunya kemalangan tidak diingini.
Belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini.
Leave a Reply