(VIDEO} ”Goyang gerudi” di Dataran Ipoh undang kecaman warganet

Tindakan sekumpulan remaja perempuan bertudung yang mempamerkan tarian berunsur lucah dan kurang sopan dalam satu festival di Dataran Ipoh, Perak pada Ahad mengundang kecaman warganet. Ia susulan pergaulan bebas antara pengunjung lelaki dan perempuan yang dilihat bebas menari bercampur-campur tanpa memikirkan batas. Dikatakan merupakan tarian ‘Budak Step’, aksi melampau beberapa gadis bertudung itu dikelilingi ramai kaum lelaki sambil menari tidak bermoral itu mula tular di laman media sosial sejak awal pagi Selasa.

Insiden itu bermula apabila sekumpulan lelaki memberikan isyarat untuk mengelilingi wanita tersebut sebelum individu terbabit membuat aksi kurang sopan dan menerima sorakan ramai ketika kejadian. Tanpa rasa segan silu, kesemua mereka kemudiannya meneruskan tarian berkenaan sambil diiringi muzik kuat daripada pentas di festival tersebut. Meraih lebih 20,000 jumlah tontonan di Twitter, rata-ratanya mengecam tingkah laku dipamerkan anak muda berkenaan selain turut menggesa satu tindakan tegas wajar diambil terhadap penganjur festival seperti itu.

“Rosak remaja kita kalau festival macam ini diteruskan, wanita lelaki semua bercampur dan lebih memalukan individu bertudung pun turut serta menari,” kata Roslikaa Aiman.

“Mohon jauhkan daripada keluarga saya, tak tahu nak komen apa tapi memang sedih sangat tengok wanita bertudung buat tarian tak senonoh macam itu, sangat menyedihkan,” ujar Syarida Karim.

“Kena buat laporan pada polis, biar pihak penganjur dikenakan tindakan mana boleh buat festival dengan acara macam ini, dah dikira menyalahi undang-undang Islam, menggalakkan tarian lucah lelaki dan perempuan,” jelas Firdaus996.

“Boleh tak jangan bawa budaya negara jiran ke Malaysia, kalau kena musibah bukan di Perak sahaja tetapi satu negara kita semua akan terkesan, tarian ini macam selalu di Indonesia tapi dah mula jadi ikutan remaja kita, penganjur pula suka buat acara macam ini,” tambah Roziman.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan polis mahupun keterangan daripada pihak penganjur berhubung kes tular tersebut dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan hal berkenaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*