{VIDEO} Gara-gara rebut pelanggan, pekerja diserang tiga lelaki warga Bangladesh

Seorang pekerja gerai sayur dekat Brinchang di sini cedera akibat diserang tiga lelaki warga Bangladesh menggunakan penutup bekas ais pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 1.04 tengah hari itu, berlaku pertengkaran mulut melibatkan mangsa iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun bersama seorang lelaki warga Bangladesh yang tidak dikenali bekerja di sebuah gerai sayur berpunca berebut pelanggan.

Menurutnya, mangsa kemudiannya telah diserang dua lagi lelaki warga Bangladesh lain dalam kejadian tersebut.

“Ketiga-tiga lelaki warganegara Bangladesh tersebut telah bertindak menyerang pengadu dengan menggunakan penutup bekas ais.

“Pengadu mengalami kecederaan luka di bahagian kening sebelah kanan dan sakit di keseluruhan bahagian badan,” ujar beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Jelas Azri, pengadu telah menerima rawatan di Hospital Besar Tanah Rata dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian kening dan kecederaan lebam pada bahagian belakang badan dan dada.

“Suspek pertama telah ditangkap dan tangkapan terhadap suspek kedua dan ketiga akan dijalankan secepat mungkin bagi melengkapkan siasatan,” tambah beliau kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 3 minit 17 saat memaparkan serangan tersebut telah dimuat naik oleh seorang pengguna di aplikasi Twitter pada Khamis.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*