{VIDEO} Gara-gara busuk hati, suami isteri disimbah asid lepas kedai makan popular dibakar

GARA-GARA dengki, pasangan suami isteri yang juga pemilik sebuah kedai makan terkenal di Selayang didakwa disimbah asid selepas memasuki lif Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak, Selangor pada Rabu.

Kejadian itu dikongsikan menerusi satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan dimuat naik menerusi hantaran di Facebook Khairy Adli pada Khamis.

Mangsa difahamkan melecur teruk di bahagian mata dan badan akibat tragedi tidak diduga tersebut.

Lebih parah, seminggu sebelum kejadian disimbah asid, kedai makan mereka hangus terbakar juga dipercayai angkara tidak puas hati pihak lain.

“Keluarga sahabat saya. Tragedi simbah asid di Pangsapuri Laksamana Jaya, peniaga suami isteri kena serang didakwa kerana dengki.

“Seminggu sebelum kejadian, kedai mangsa dibakar habis 100 total lost. Kemudian semalam (Rabu) mangsa disimbah asid. Mata dan badan melecur,” katanya dalam hantaran tersebut.

Khairy mendakwa, meskipun bukan kali pertama keluarga berkenaan ditimpa musibah, namun baginya perbuatan menyimbah asid itu adalah agak keterlaluan.

“Bukan sekali dua benda-benda macam ini jadi kepada mangsa, tapi mereka bangun dan masih (teruskan) berniaga, tak sangka dah sampai main bakar kedai dan simbah asid,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairy mendakwa lagi, lokasi perniagaan suami isteri berkenaan sebenarnya adalah kawasan panas.

“Memang tak selamat nak berniaga di kawasan itu (sebab ramai) orang dengki. Kawasan mangsa berniaga memang teruk dengkinya.

“Harap polis cepat buat kerja. Selayang adalah kawasan panas untuk (melakukan) jenayah,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*