Pekan Kuala Pilah di sini hari ini digemparkan dengan kejadian nekad dua lelaki bertopeng dengan bersenjatakan parang menyamun dan melarikan emas yang dikatakan seberat tujuh kilogram dan bernilai RM1.8 juta.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 11.37 pagi tadi di lorong belakang serta parkir sebuah kedai emas dengan video kejadian tersebut turut tular di media sosial.
Pengurus Kedai Emas Nur Jannah Kuala Pilah, Noorhasliza Abd. Rahman berkata, pihaknya mengetahui kejadian berkenaan sebaik dimaklumkan dua orang kakitangan pembekal emas yang terus masuk ke kedai selepas mereka disamun.
“Kejadian ini sudah tular dan semua bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sudah diserahkan kepada pihak polis. Kami juga sudah membuat laporan polis berhubung kejadian ini dan kedai beroperasi seperti biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ujar beliau, kejadian samun seumpama itu baharu pertama kali berlaku di sekitar kawasan tersebut yang mempunyai kira-kira 10 buah kedai emas.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abd Wahab ketika dihubungi memaklumkan kenyataan lanjut mengenai kejadian akan diberikan kelak selepas siasatan dijalankan.
Sementara itu, berdasarkan video yang tular, dua orang lelaki yang membawa beg dipercayai berisi emas diserang dua orang lelaki lain sebaik sahaja mereka keluar daripada sebuah kereta.
Dua penyamun itu kemudian merampas dua beg tersebut dan melarikan diri dengan sebuah kereta. Turut kelihatan dalam video berdurasi 33 saat itu sebuah kereta lain yang mengekori kereta dinaiki kedua-dua penyamun tersebut.
Leave a Reply